Skip to content

Toyota Corolla Cross Model Terbaru dari Toyota

Foto Sumber: Toyota Malaysia

KUALA LUMPUR: Model Toyota Corolla Cross serba baharu yang dinantikan pasaran kini tiba secara rasmi di Malaysia.

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) yang akan mula dijual bermula hari ini memberi tambahan pilihan SUV terbaru yang menarik untuk pengguna terus meneroka dan mengembara.

Model baru ini, yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, didatangkan dengan dua varian iaitu Corolla Cross 1.8V dan Corolla Cross 1.8G yang masing-masing dijual pada harga RM134,000 (tanpa pengecualian cukai jualan) dan RM124,000 (dengan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2021) di Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans.

Walaupun menjadi ahli keluarga Corolla, Corolla Cross mempunyai penggayaan yang sama sekali berbeza daripada Corolla Sedan.

Ia mempunyai rekaan menonjol yang mengetengahkan watak sporty dan seronok dipandu disamping berfungsi dengan baik sebagai sebuah SUV.

Sama seperti kebanyakan model terkini Toyota, Corolla Cross dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), sebuah struktur yang membolehkan kejuruteraan lebih anjal dilaksanakan serta beberapa lagi manfaat lain.

Dengan TNGA, kedudukan titik graviti lebih rendah boleh dicapai untuk meningkatkan kestabilan kenderaan, sementara kerangka badan lebih kukuh memperkayakan lagi ketahanan dan keselesaan.

Berbanding Corolla Sedan, Corolla Cross memiliki badan yang sedikit lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,460 mm. Bagaimanapun, ia lebih lebar sebanyak 45 mm dengan 1,825 mm dan 185 mm lebih tinggi dengan 1,620 mm. Ketinggian ini membolehkan jarak kelegaan tanah dinaikkan kepada 161 mm.

SUV moden mempunyai ruang dalaman yang mirip pada kereta penumpang dengan ciri yang mengutamakan keselesaan, suatu perkara yang memang dijuarai oleh Toyota sejak 25 tahun lalu melalui model RAV4.

Corolla Cross meneruskan konsep terbabit dengan menyediakan sebuah ruang berkonsep urban dengan penjelmaan ciri premium. Selain posisi duduk lebih tinggi, ketinggian tambahan kenderaan ini menjadikan ruang kepala lebih luas berbanding SUV pesaing lain dalam kelasnya.

Corolla Cross 1.8G menggunakan lampu utama jenis projektor halogen, sementara varian 1.8V pula dilengkapi dengan unit Bi LED yang memberikan tahap pencahayaan lebih baik.

Lampu nyalaan siang (DRL) menampilkan ciri ‘tirai cahaya’ yang menyuntik penampilan unik dan berkualiti ciri sama turut diberikan untuk lampu belakang. Tema warna utama ruang kabinnya ialah hitam dengan kemasan balutan kulit bagi tempat duduk, sementara penyudah cat satin digunakan pada bahagian perincian lain.

Pencahayaan LED pada bahagian pintu depan menghasilkan suasana berkualiti tinggi dan melahirkan tanggapan menarik. Untuk kemudahan pemandu pelbagai saiz, tempat duduknya didatangkan dengan ciri larasan elektrik lapan hala.

Panel instrumen mempunyai rekaan sporty dengan fokus utama pada speedometer di tengah serta Multi Information Display (MID) 4.2-inci. Panel sembilan inci di tengah papan pemuka pula adalah untuk paparan sistem infotainmen dan audio, serta memancarkan imej dari kamera undur.

Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem sambungan lain termasuklah USB Mirroring, AUX dan Bluetooth.

Selain kemudahan sistem pintar tanpa kunci untuk memudahkan lagi urusan keluar masuk dan menghidupkan enjin, Corolla Cross juga datang dengan pintu belakang sensor kuasa elektrik yang boleh dibuka secara automatik melalui pengesanan gerak kaki pengguna.

Ini membolehkan operasi tanpa menggunakan tangan sekiranya tangan pengguna penuh kerana memegang beg atau barangan lain.

Dari segi ruang barangan yang tersedia pula, ia mempunyai kapasiti 440 liter. Jumlah ini boleh ditingkatkan dengan merebahkan bahagian penyandar kerusi belakang. Dalam keadaan ini, lantainya akan menjadi rata sepenuhnya.

Dengan kedua-dua penyandar direbahkan, pengguna boleh membawa dua buah basikal sekali gus dalam ruang berkenaan.

Untuk melindungi penglihatan terhadap ruangan ini, penutup tonneau boleh gulung ada disediakan.

Toyota Corolla Cross dikuasakan oleh enjin 1.8 liter petrol DOHC dengan Dual VVT-i yang mampu menghasilkan 139 PS kuasa pada 6,400 rpm dengan 172 Nm tork pada 4,000 rpm.

Dengan sistem suntikan minyak optimum, enjinnya menawarkan keseimbangan padu antara kuasa, ketahanan dan penjimatan bahan api.

Transmisi Sequential Shiftmatic (CVT) tujuh kelajuan yang digunakan pula diperkemas prestasinya dengan pendikit kawalan elektronik untuk memberikan maklum balas lebih berkesan, lancar dan senyap.

Menerusi Corolla Cross 1.8V, teknologi keselamatan bersepadu Toyota Safety Sense (TSS) turut tersedia selari dengan Toyota Synergised Mobility.

Sistem dalam TSS 2.0 merangkumi ciri seperti Sistem Pra Perlanggaran (PCS) Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Teknologi teras ini, yang memanfaatkan radar dan kemara, turut dibantu oleh ciri Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS).

Corolla Cross turut dilengkapi Perakam Video Digital (DVR) di depan (ditawarkan sebagai pilihan untuk bahagian belakang) yang membolehkan pemandu merakam pergerakan kenderaan sepanjang masa.

Semua Corolla Cross baru dipasangkan dengan sistem keselamatan termasuk immobilizer enjin. Lebih menarik, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) turut ditampilkan yang mana boleh menjejaki kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS.

Pemilik boleh juga meninjau status penghidup dan kelajuan kenderaan, dan sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas.

Sekiranya ada impak yang dikesan, pusat panggilan akan memaklumkan khidmat kecemasan untuk menyediakan bantuan di lokasi semasa kenderaan. Pemilik Corolla Cross akan menikmati langganan VTS percuma selama tiga tahun.

Selain platform kukuh TNGA yang digunakan, struktur Corolla Cross direka untuk menahan daya hentaman dari semua sisi ketika terbabit dalam kemalangan.

Ini dapat menghindar atau mengurangkan kecederaan terhadap penumpang. Bagi ujian ASEAN NCAP, Corolla Cross, sama seperti kebanyakan model lain Toyota, menerima penarafan keselamatan lima bintang.

SUV ini didatangkan dengan tujuh beg udara SRS (termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu) yang akan diaktifkan sekiranya berlaku perlanggaran teruk.

Ciri ISOFIX (dengan cangkuk atas) disediakan di tempat duduk belakang, membolehkan pengguna mematuhi peraturan penggunaan kerusi keselamatan kanak kanak dengan mudah.

Pelanggan boleh memilih warna luaran yang terdiri daripada Red Mica Metallic, Platinum White Pearl, Metalstream Metallic, Graphite Metallic dan Nebula Blue Metallic.

Jaminan kilang selama lima tahun tanpa had perbatuan disediakan, berserta jaminan sokongan lepas jualan seluruh negara dengan ketersediaan alat ganti tulen.

Toyota Corolla Cros s 1.8G kini boleh dilihat, diuji serta dibeli melalui bilik pameran pengedar sah dan cawangan Toyota seluruh negara. Corolla Cross 1.8V pula akan tiba kemudian, tetapi tempahannya sudah mula dibuka. Tempahan juga boleh dibuat di semua bilik pameran maya Toyota.

Ketika memperkenalkan Corolla Cross serba baru, Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran, berkata UMWT tanpa membuang masa, merancakkan lagi tahun 2021 dengan semangat baru bersama Synergised Mobility Toyota Corolla Cross serba baru.

“Kami yakin ia akan menjadi pilihan yang memenuhi keperluan dan gaya hidup aktif masa kini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, kajian pasaran menunjukkan ada maklum balas positif terhadap Corolla jenis baru ini.

“Ia tidak menghairankan kerana perhatian dan permintaan terhadap SUV sedang tumbuh pesat bahkan di peringkat global,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Sumber Foto: Toyota Malaysia

Designed using Unos. Powered by WordPress.