Skip to content

Litar Kereta Bertaraf Antarabangsa Akan dibina di Bukit Malut

Menteri Besar Kedah: Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Sebuah litar kereta berprestasi tinggi dan bertaraf antarabangsa akan dibina di Bukit Malut, Langkawi tidak lama nanti.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, litar berkenaan akan dibina menerusi kerjasama Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan sebuah syarikat swasta.

Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1,600 pemilik kereta berkuasa tinggi di Langkawi yang menikmati pengecualian cukai ketika memberi kenderaan berkenaan.

Menurutnya, walaupun memiliki kereta yang hebat, namun pergerakannya agak terbatas.

“Pemilik kenderaan itu hanya boleh pusing-pusing di Langkawi dan tidak boleh ke tempat lain (selain Langkawi).

“Kalau nak pandu di tempat lain, pemilik perlu memohon kebenaran daripada agensi tertentu terlebih dahulu termasuk untuk ke tanah besar. Tapi dalam tempoh dua bulan, kena masuk ke Langkawi semula,” kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi sehubungan itu berkata, pemilik kenderaan berkenaan boleh menguji kenderaannya di litar terbabit dengan bayaran tertentu yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan negeri menyokong usaha syarikat swasta itu membina litar berkenaan.

“Bagaimanapun ini bukan litar lumba tetapi dipanggil litar kereta berprestasi tinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan, pembinaan litar di Bukit Malut itu adalah di tanah milik PKB dan bukannya didiami masyarakat Melayu Islam Kedah (MIK).

Sumber- Sinar Harian

Designed using Unos. Powered by WordPress.